News & Events

23 Aug 2011

Perodua menyediakan tempat berteduh

Rawang, 23 Ogos: Perodua hari ini telah membina sebuah perhentian bas bernilai RM80,000 untuk kebaikan penduduk sekitar kawasan ibu pejabatnya dan sekali gus memberi tempat berteduh bagi komuniti setempat.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata lokasi yang dipilih ini merupakan kawasan strategik untuk memberi impak terbesar kepada para komuniti sekitar Perodua.

Beliau berkata selama ini kebanyakan pengguna menjadikan tiang tanda Perodua sebagai tempat berteduh dan menunggu bas.

“Persimpangan lampu isyarat ini tidak sesuai sebagai tempat menunggu bas kerana selain mengganggu laluan trafik, ia juga tiada perlindungan dari panas mahupun hujan,” Aminar berkata.

Hentian bas baru ini akan memanfaatkan penduduk, pekerja dan murid-murid sekolah yang menggunakan bas serta pengangkutan awam lain untuk berulang alik antara Pekan Rawang, Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Bukit Beruntung serta Kuala Lumpur setiap hari, beliau berkata lagi.

Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Perodua, secara purata seramai 20 orang setiap jam menunggu di kawasan ini dalam jangka masa 5 hari bekerja dari pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang.

Aminar berkata Perodua akan menilai keberkesanan projek ini dengan membuat kajian dan pemerhatian terhadap pengguna perhentian bas ini serta melihat kepada kawasan lain yang berdekatan yang memerlukan infrastruktur yang sama.

Projek pembinaan perhentian bas ini adalah sebahagian daripada dua projek Tanggungjawab Korporat di bawah “Program Komuniti Bersama Perodua”. Projek kedua adalah penyerahan cek RM3,000 setiap satu kepada 13 surau di kawasan-kawasan berdekatan.

Surau-surau ini adalah Madrasah Al-Firdaus, Surau Mualim Osman Fakeh, Surau Al-Falah, Surau Kampung Orang Asli, Surau An-Nur, Surau An-Naim, Surau Nurul Iman, Surau Al-Bayan, Surau Raudatul Jannah, Surau Al-Kaihiriah, Surau Al-Iman, Surau Al-Ehsan dan Surau Khairiah.