Perodua meterai Memorandum Persefahaman bersama PERDA

18 Feb 2016

Putrajaya, 18 Feb: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB) hari ini telah memeterai perjanjian untuk bekerjasama di dalam usaha meningkatkan modal  insan anak-anak Pulau Pinang melalui perkongsian ilmu terutama di dalam bidang automotif.

“Kerjasama yang dijalinkan ini dapat merealisasikan hasrat kami dalam membantu golongan belia terutamanya anak-anak Pulau Pinang yang berminat di dalam bidang automotif dan ingin meneruskan kerjaya mereka di dalam bidang tersebut.

Kami amat berterima kasih kepada pihak Perodua di atas jalinan kerjasama ini kerana ianya akan memberi impak yang besar kepada ICU JPM amnya dan kepada PERDA khususnya.” ucaptama Ketua Pengarah ICU JPM, YBhg Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof.

Dalam perjanjian ini, PERDA menawarkan bangunan PERDA-TECH untuk dijadikan sebagai Pusat Latihan Teknikal Perodua (Perodua Technical Training Centre) dan kemudahan tempat tinggal bagi  para pelatih Perodua di wilayah utara.

Manakala Perodua pula akan membekalkan bahan latihan seperti peralatan teknologi, mesin-mesin dan kenderaan latihan yang diatur sepertimana pusat servis Perodua yang sebenar yang mana ianya juga boleh digunapakai oleh PERDA-TECH untuk tujuan pembelajaran.

Kos keseluruhan bagi melengkapkan bangunan tersebut adalah sebanyak RM 250 ribu meliputi kos alat bantu mengajar, peralatan, kenderaan untuk latihan, simulator enjin dan peralatan bengkel. Manakala PERDA telah membelanjakan RM 170 ribu bagi kerja-kerja membaikpulih bangunan dan bengkel sedia ada untuk dijadikan Pusat Latihan Teknikal Perodua.

Selain itu, Perodua juga turut membekalkan tenaga pengajar bagi membantu PERDA-TECH dalam mempertingkatkan kemahiran tenaga pengajar dan pelatih di dalam bidang teknologi automotif terkini.

“Kami berharap dengan kerjasama ini kita dapat membantu membentuk generasi muda ke arah menjadi individu yang lebih baik dan menjadi aset besar kepada negara terutamanya di dalam industri automotif," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua,YBhg Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh selepas menyaksikan upacara memeterai perjanjian persefahaman tersebut.

Turut hadir di dalam acara bersejarah itu ialah YBhg Datuk Abdul Wahab bin Abdullah, Pengerusi Majlis Penasihat PERDA-TECH, En Mohd Yazid Osman, Ahli Lembaga Pengarah PERDA, Tuan Haji Rosman Hashim, Pengurus Besar PERDA dan juga Dr. Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd.

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah ditubuhkan pada 1 Jun 1983 di bawah Akta 282 dan telah diletakkan di bawah pentadbiran Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) pada 1 Ogos 2005.

PERDA berfungsi dalam untuk memajukan kumpulan sasar PERDA dalam semua bidang sosio ekonomi melalui usaha-usaha pembangunan modal insan, pembangunan usahawan dan projek-projek pembangunan perumahan dan industri dengan tumpuan kepada peningkatan taraf hidup.